Here In My Home - Malaysian Artistes For Unity

Friday, 30 November 2012

Obsesi Ku Kini -Edisi 1 Parang Tetak

Memang betul lah apa orang kata, krisis pertengahan umur adalah di mana seseorang menjadi ke-anak-anakan kembali dengan melayan kegemaran yang luar kebiasaanya, mungkin atas faktor kini berkupayaan untuk mendapatkan apa yang dahulunya di-idamkan. Jangan mimpi tambah cawangan udahla kut yang didoakan bagi seorang isteri.

Aku telah melayan obsesi pertama ku iaitu mempunyai diorama model ketenteraan tapi setelah menyiapkan beberapa set dan adanya lagi lebihan set yang tertunggak, faktor ruang pamiran telah menghadkan kegemaranku itu. Lagipun hampir semua model-model yang kuingini sudah hampir sudah kumiliki, jadi mungkin sudah sampai masanya ku meletak sebelah kegemaranku yang satu ini.

Bermula dengan beberapa percubaan gagal untuk memperolehi parang-parang cantik dari Kota Belud ketika melayari internet pada waktu lewat malam, akhirnya aku berjaya memperolehi beberapa bilah yang bermutu selain dari yang memang dibeli untuk dijadikan parang kerja. Tetapi seperti jua dalam urusan jual beli secara internet, aku tetap terpaksa membayar kos kemasukan dengan membeli beberapa bilah yang tidak berbaloi dengan harganya. Tetapi syukurlah juga, cuma sedikit dan tidaklah berapa mahal 'dendanya'.

Setelah mentelaah jenis-jenis parang cantik yang ada, kini saya akan menghadkan jenis-jenis yag saya kumpul kepada keluarga lading dan barung pida' kerana saya dapati kemudian, jenis-jenis ni ada kaitan dengan warisan ku di Sumatera. Jenis yang satu lagi ialah parang kukri yang memang ku minati dari dahulu lagi. Dan berdasarkan harga bila dibandingkan dengan mutu, saya juga menghadkan pembelian dari Malaysia Timur sahaja kerana kehalusan seninya sehingga sekarang saya telah berani membuat tempahan kerana keyakinan terhadap mutu yang bakal diperolehi. Entahla, bagi saya parang-parang semenanjung ini seperti tiada Uuummmph bak kata iklan teh tu dan selalunya harga yang melampau-lampau pula tu.

Okeylah sebelum catatan ni menjadi melampau panjangnya, biarlah saya teruskan sahaja dengan apa yang saya ingin paparkan. Di bawah adalah parang kerja atau dalam bahasa Bajau tukang yang membuatnya parang Go'ok dan ia mempunyai persamaan dengan parang lading Sumatera. Ia adalah bilah pertama yang berkualiti dan halus seninya saya peroleh dan terus menambat saya untuk memesan parang-parang dari Kota Belud, Sabah yang memang terkenal. Sarungnya diperbuat daripada kayu Manis diukir dengan kerewang tumbuhan menjalar di tengahnya. Bilahnya sepanjang 14 inci tetapi tidak berhias, namun dikatakan adalah jenis kualiti tinggi berkilat buatan Tukang Bajau dari Semporna berdasarkan Jenama 1 ditandakan padanya. Ia ditempa dari spring dan mengalami proses sepuhan air.




Bilah parang kerja saya yang kedua diperoleh dari penjual berlainan. Sarungnya dibuat daripada kayu Dau dan hanya diukir dengan motif Serimpak Bajau di bahagian atas sarung dan sedikit kerewang di tepian sarung kerana kecantikan ira urat-urat kayu itu sendiri yang ingin ditonjolkan. Bilahnya juga berjenama 1 tetapi dihiaskan dengan motif titik di dua-dua belah. Cuma ianya pendek sedikit pada kepanjangan 13 inci tetapi kali ni dibuat dari spring landrover lama, jadi sesuai untuk digunakan sebagai parang tetak tetapi tidak mungkin saya gunakan sedemikian.



No comments: