KUALA LUMPUR 27 Ogos - Persatuan Halak Mandailing Malaysia,
(Mandailing Malaysia) akan mengadakan majlis sambutan Hari Raya 2013 di
Kampung Batu 9, Chemor, Perak, Ahad ini dengan diserikan acara
kebudayaan serta masakan tradisi kaum itu, termasuk gulai ubi tumbuk.
Timbalan Presiden persatuan itu, Rosli Nasution berkata,
acara yang akan bermula dari 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang bakal
diserikan dengan persembahan tarian tor-tor dan gendang sembilan oleh
anak-anak Mandailing dari Gombak, Selangor.
Kumpulan kebudayaan itu yang ditubuhkan tahun lepas
bertujuan melestarikan budaya Mandailing memandangkan kini terdapat
500,000 kaum Mandailing di negara ini, kata Rosli yang juga pengerusi
bersama jawatankuasa penganjuran majlis dalam kenyataan di sini hari
ini.Majlis itu, katanya, diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Chemor.
Rosli berkata, usaha persatuan itu mengadakan majlis
Aidilfitri di beberapa negeri sebelum ini antaranya di Kampung Kerangai,
Jelebu, Negeri Sembilan dan Gombak, Selangor serta di Perak, Ahad ini
bertujuan merapatkan lagi hubungan antara kaum itu selaras dengan cogan Padomu Na Marotak, Palagut Na Marserakyang bermaksud mempertemukan yang berpecah, menghimpun yang terpisah.
Beliau berkata, Chemor yang merupakan antara kampung tertua
kaum itu di negara ini, merupakan juga tempat lahir ramai tokoh
Mandailing di negara ini antaranya Allahyarham Aminuddin Baki pejuang
pendidikan, Allahyarham Amir Hamzah Shamsuddin atau Malungun, pejuang
bahasa, penulis dan wartawan, Allahyarham Abdul Wahab Abdullah yang juga
pemberita akhbar tempatan sekitar tahun 1930-an sebelum dilantik
menjadi majistret.
Selain itu, ia juga nostalgia bagi sebuah keluarga iaitu Tan
Sri Daiman Jamaluddin bekas Ketua Pengarah Kastam (1972-1976) yang
baru-baru ini dianugerahkan sebagai Tokoh Kastam 2013 serta abangnya
Waad Jamaluddin yang merupakan pengurus besar Keretapi Tanah Melayu,
dari 1967 hingga 1971.
Rosli berkata, dalam bidang ketenteraan pula, bekas Panglima
Tentera Laut Allahyarham Laksamana Madya Datuk Mohd Zain Mohd Salleh
dan bekas ketua skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia Abdul Jalil
Shamsuddin, yang maut dalam nahas helikopter Nuri di Bintulu, Sarawak
pada 1969, juga anak kelahiran kampung ini.
Beliau berkata, kampung tersebut juga merupakan tempat bermain
Allahyarham Tun Adam Malik, bekas Naib Presiden Indonesia semasa
kecilnya kerana ibunya, Siti Salamah Deto merupakan anak Chemor.
"Walaupun menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan Indonesia, Adam
setiap kali datang ke Malaysia kerana tugas akan mencuri masa untuk
menziarah kaum keluarganya di kampung ini," katanya.
Rosli berkata inisiatif sebegini selaras dengan usaha persatuan yang
bukan sahaja berperanan merapatkan hubungan silaturahim kaum itu di
negara ini, malah giat melestarikan budaya serta sejarah kaum Mandailing
kepada generasi muda. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment