Waktu Solat WP Kuala Lumpur

Here In My Home - Malaysian Artistes For Unity

Thursday, 15 November 2007

Artikel Makanan Tradisi Yang Menarik

Saja nak simpan artikel menarik ni sebelum ia hilang di alam maya.. Kebanyakan kuih yang disebut tak pernah tahu pun..



(kiri) BUNGA pundak kuih tradisi Kedah. (tengah) BUAH tanjung kuih tradisi Kelantan. (kanan) PIANA kuih tradisi Kelantan.

Hidangan tradisi hanya boleh diperoleh sepanjang bulan puasa KEDATANGAN Ramadan mendatangkan seribu satu rahmat pada umat Islam. Kegirangan menyambut kedatangan bulan mulia ini sememangnya sentiasa meriah semeriah deretan gerai di Bazar Ramadan. Seawal jam tiga petang orang ramai sudah berpusu-pusu menjelajah dari gerai ke gerai mencari kuih muih dan lauk pauk yang kena dengan selera masing-masing. Ada yang biasa dilihat, tidak kurang juga yang tidak pernah diketahui kewujudannya.

Daripada karipap dan murtabak, pelbagai jenis agar-agar, kebab, seri muka, seri kaya, roti jala dan paling banyak tentunya masakan dari negeri Pantai Timur dari lompat tikam, akok, beko juga nekbat. Peluang singgah di Bazar Ramadan juga dinantikan kebanyakan orang yang ingin mencari kelainan untuk mendapatkan makanan tradisional yang hanya dijual pada Ramadan. Mereka juga mahu mencari kuih yang pernah dibuat ibu di kampung bukan sekadar untuk mengisi perut yang kosong tapi dapat mengimbau kembali kenangan berbuka bersama keluarga ketika kecil. Agak sukar menjejak kuih yang sememangnya tulen dan berasal dari sesuatu negeri. Misalnya di Selangor dan Kuala Lumpur, mungkin terlalu banyak evolusi yang membawa pelbagai bangsa dan rakyat dari pelusuk negara ke pusat pentadbiran negara ini, menjadikan dua tempat ini mengalami banyak perubahan termasuk dari segi pengolahan cara penghasilan makanan tradisional.


Penulis buku masakan, Norzailina Nordin, berkata di Selangor, masyarakatnya banyak terpengaruh dengan gaya masakan orang Bugis. “Antara kuih tradisi yang semakin hilang dalam masyarakatnya adalah kuih Bugis Mandi. Kuih ini mempunyai rupa dan rasa yang hampir sama dengan kuih Badak Berendam namun bebolanya lebih kecik menyerupai Buah Melaka. "Pada dasarnya, kuih tradisional dulu mempunyai ciri yang hampir sama iaitu tepung pulut yang digiling sendiri, dikacau dengan campuran santan. Isinya kebanyakan kelapa parut yang dimasak dengan gula hangus kerana ketika dulu, gula merah sukar diperoleh," katanya. Di Johor, Sup Tulang Merah yang mempunyai rasa dan warna yang amat berbeza dengan sup biasa boleh dilihat pada Ramadan dan tidak pada hari biasa.

Penjual sup itu, Shamsiah Mohd Resak tidak pasti asal usul sup itu tetapi resipinya ialah tulang sendi 'gearbox' kambing kerana saiznya yang lebih kecil berbanding lembu yang lebih besar serta sukar untuk dimakan dan dimasak. Hidangan pencuci mulut Puding Diraja, Opor Daging Kerbau dan Temosa Diraja adalah tiga jenis makanan istimewa di Pahang yang sememangnya antara identiti rakyat negeri itu. Pengusaha katering, Hanizah Razali berkata, Puding Diraja diperbuat daripada empat bahan utama iaitu pisang lemak manis (digoreng) biji gagus, buah prun dan ceri. Urat emas yang diperbuat daripada kuning telur menjadi penyeri kepada makanan itu. "Keistimewaan Temosa Diraja terletak pada intinya yang diperbuat daripada daging ayam dikisar halus, hirisan telur ayam dan rempah manakala kelebihan Opor Daging Kerbau terletak pada warna hitam pekatnya, daging kerbau yang lembut serta campuran rempah ratus," katanya.
Kuih suji semia, keseri dan halwa maskat amat terkenal di Pulau Pinang sebagai kuih tradisi masyarakat India Muslim yang menjadi pembuka selera sewaktu berbuka selain dihidangkan ketika majlis perkahwinan. Kuih tradisional Melayu seperti serabai dan pengat ubi kayu juga mendapat sambutan pada bulan puasa. Kuih serabai dihasilkan menggunakan adunan tepung beras dan santan manakala kuahnya menggunakan tepung beras dan gula. Di Perak, masakan telur ikan loma goreng, ikan timah goreng dan kuih jongkang menjadi antara masakan yang dihidangkan pada Ramadan. Istimewanya ikan loma ini ia hanya ditemui pada musim hujan atau ketika bulan gelap dan rupanya seakan-akan ikan kembung dan mempunyai telur berwarna hijau, apabila dimasak berwarna kuning pucat.
Kuih muih tradisional Kelantan memang sudah terkenal di kalangan rakyat negara ini seperti tahi itik, pauh dilayang, mas sejemput, piana, buah tanjung, jala mas, akok, nekbat, nasi kaya, rokong golong, cek mek molek, murtabak raja dan agar-agar warna warni. Kebanyakan kuih tradisi ini diwarisi daripada nenek moyang sebelum dikomersialkan. Keistimewaan kuih tradisional Kelantan kerana ia tahan lama, selain manis dan lemak kerana menggunakan adunan santan, gula dan telur. Satu-satunya kuih di Negeri Sembilan yang masih bertahan sehingga kini tetapi amat sukar ditemui kecuali sepanjang Ramadan adalah kuih Sopang. Kuih Sopang terkenal di Kuala Pilah dan dihasilkan daripada beberapa bahan seperti tepung pulut, gula Melaka dimasak dengan kelapa muda parut untuk inti, santan pekat dan sedikit tepung serta garam secukup rasa. Dari segi rupa dan bentuknya, ada yang menganggap Sopang sama seperti kuih koci atau badak berendam tapi sebenarnya ia berbeza sama sekali dari segi proses dan juga rasa.
Di Kedah, kuih bunga pundak berinti kelapa adalah makanan tradisi masyarakat Melayu di negeri jelapang padi ini. Kuih ini dinamakan sempena warna bunga pokok pundak. Kuih yang enak dimakan ketika panas ini kelihatan mudah dibuat namun ia sebenarnya memerlukan kemahiran tinggi untuk dibuat khususnya ketika proses mengayak tepung dan melipat. Walaupun pelbagai jenis kuih muih tradisional boleh ditemui sepanjang Ramadan, jangan lupa makanlah sekadarnya saja terutama mereka yang mempunyai pelbagai jenis penyakit seperti diabetes kerana kebanyakan kuih tradisi memang manis. Tambahan pula, berlebih-lebihan itu adalah pembaziran.

4 comments:

Snowny said...

Hi, I'm a student from College Tunku Abdul Rahman. I'm now doing an assignment on Malay traditional food. Can I refer your information on this article?

mumuchi said...

carry on...whatever i have quoted is in public domain anyway :>)

Snowny said...

thanks!!!!

Puan Habibah said...

Salam. Dapatkan sampel Halwa Maskad. Type Sampel HM, Nama & Alamat SMS ke 019 456 7473 atau email to warisan.emak@yahoo.com