Here In My Home - Malaysian Artistes For Unity

Wednesday 16 May 2007

Kisah Mee Rebus

Mee Bandung

Berbincang dengan geng kat forum MPSA di Cari, aku terfikirlah apa bezanya mee bandung (samada Muar punya version atau tidak), mee rebus biasa dan mee jawa. Ketiga-tiga mee ini adalah mee rebus yang berbeza pada asasnya cuma pada nama. Baik kita tengok apa dia orang katakan sebagai mee bandung. Mee bandung yang biasanya aku makan ialah mee di mana kuahnya disediakan dalam kuali dan kemudiannya meenya dimasukkan ke dalam kuali untuk dimasak bersama sebelum dihidangkan. Kuahnya itu biasanya berasaskan sos tomato dan sos cili botol yang dicampur air rebusan, bahan perencah seperti daging, udang sotong dsb dan sayur mayur sebelum di masukkan mee. Variasi utama mee bandung ini ialah mee bandung muar yang selalu diperkatakan as the best. Aku difahamkan cara persediannya adalah sebenarnya serupa dengan mee rebus yang aku akan perkatakan selepas ini cuma kuahnya itu dicampur dengan kulit udang digiling untuk menambahkan kicknya. Aku pernah makan dan memangla berbeza rasanya kerana mee bandung muar terasa kemanisan kulit udang itu. Tapi bagi aku baik namakan ia sebagai mee rebus muar kerana lebih mirip mee rebus dari mee bandung dari segi penyediaan, bagi akulah.


Mee Bandung Muar




Mee Rebus Stail Utara

Kenapa aku katakan sama. Both mee bandung muor ni dan mee rebus ini kuahnya disediakan berasingan dan dituang ke atas mee yang dah dicelor tetapi bahan asas kuahnya berbeza. Mee rebus ini berbeza kerana kuahnya berasaskan keledek walaupun ikut resepi masing-masing ada jugak campur ayam, daging maupun udang dan sotong. Dan apabila dihidangkan, mee rebus ini biasanya dihias dengan hirisan tahu goreng, telur rebus, kekadang hirisan kentang rebus dan kalau kedai mamak, ada yang letak sedikit cucur rojak. Yang best pulak kalau letak sedikit kicap manis.


Mee rebus yang biasa boleh didapati ialah mee rebus versi mamak dan mee rebus versi melayu di mana perbezaan pada mata aku ialah tahap penggunaan cili, jadi versi mamak baisanya lebih terang dari versi melayu yang banyak menggunakan cili. Pada pendapat aku, versi melayu lagi best kerana kena tekak aku dan ini adalah versi yang mak aku buat tapi ada jugak yang sukakan versi mamak.


Mee Rebus Hj Wahid Johor Bahru


Ok Sekarang aku nak cerita fasal versi terakhir mee rebus ni iaitu mee jawa. Tapi nak senang cerita, aku cilok posting dari Alaf21 yang bagi aku menerangkan dengan bagus perbezaan mee rebus dan mee jawa ni. Ini kata mereka :

APA BEZA MEE REBUS & MEE JAWA?


Apakah perbezaan di antara mee rebus and mee jawa?


Di sebelah Utara Semenanjung, Mee Rebus berkuah pekat tetapi di tempat-tempat lain, Mee Rebus adalah serupa dengan Mee Sup. Mee Jawa pula mempunyai banyak ramuan giling dan tidak dimakan dengan Cucur Udang seperti Mee Rebus. Di sini ada kedua-dua jenis resepi untuk tatapan puan (& dibuat perbandingan?):


MEE REBUS


Bahan Sampingan


350g mee kuning, dicelur
150g taugeh, dicelur
2 biji telur, direbus
2 keping tauhu, digoreng & dihiris
2 biji kentang, direbus & dihiris
bawang goreng, cili merah, daun bawang
hirisan limau kasturi, jika suka

Bahan Cucur Udang

20 ekor udang hidup
80g tepung gandum
¼ camt serbuk kunyit
garam
air secukupnya
minyak untuk menggoreng cucur

Bahan Penumis


3 cm kulit kayu manis
1 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
2 ulas bawang putih, dikisar
5 ulas bawang putih, dikisar
2 cm halia, dikisar
7-8 tangkai cili kering, direndam & dikisar

Bahan Kuah


4 camb minyak
200g daging, direbus dengan 1.5 liter air & dihiris
2 biji tomato, dibuang biji & kulit, dikisar
1 biji keledek kecil, direbus & dilecek
garam & gula secukupnya


Panaskan minyak, masukkan bahan penumis dan kacau hingga terbit bau. Masukkan air rebusan daging dan tomato kisar. Bila mendidih, masukkan keledek lecek. Tambah garam, gula dan renihkan hingga pekat. Sajikan dengan bahan sampingan, hirisan cucur udang dan hirisan daging.

MEE JAWA



3 camb minyak masak
150g daging, direbus & dihiris (air rebusan 1 liter)
120g udang segar, direbus, dikupas & tapis air rebusannya (0.5 liter)
2 biji tomato, dihiris kecil
1 camt tepung jagung, dicampur
150ml air
2 camb air asam jawa

Bahan Sampingan


350g mee kuning, dicelur
120g taugeh, dicelur
2 keping tauhu, digoreng & dihiris dadu
2 biji telur rebus, dihiris
1 biji cili merah, dihiris
1 biji cili hijau, dihiris
daun bawang, daun sup & bawang goreng
hirisan limau kasturi

Bahan Kisar


½ camt serbuk ketumbar
¼ camt serbuk jintan putih
¼ camt serbuk lada hitam
1 cm kunyit hidup
1 camb kacang tanah goreng
1 cm lengkuas
½ labu bawang besar
1 cm halia
1 ulas bawang putih
2 biji buah keras
2 camt rempah kari daging

Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga wangi dan terbit minyak. Masukkan air asam jawa, air rebusan udang dan air rebusan daging. Bila mendidih, masukkan campuran tepung jagung dan tomato. Bila kuah mulai pekat, tambah garam dan gula. Sajikan dengan semua bahan sampingan.


Amacam boleh terima tak. Cuma dalam keluarga aku penarik mee jawa ni kuahnya ada campur kacang tanah sebagai pemekat, itu yang kasi kow. Korang perasan tak dalam resepi mee jawa memang ada kacang yang telah ditumbok sementara mee rebus tu tak ada. Sebenarnya bagi aku semua mee rebus ini adalah variasi kepada mee rebus jawa sebagai resepi asas. Cuma resepi sudah diubah mengikut selera setempat. Di Sabah dan Sarawak aku perhatikan tidak ada istilah mee rebus, diaorang cuma panggil mee jawa sahaja. Jadi buat pengakhir kata aku kasilah definisi mee 'rebus' dalam keluarga aku...

mee rebus : mee yang kuahnya di buat berasingan dan kemudian dicampur kepada mee. Mirip mee rebus mamak dan mee bandong muor



mee bandung : mee yang kuahnya dimasak dalam kuali dan kemudiannya mee dicampur dan terus dihidang. Mirip mee bandong kedai siam.


mee jawa : mee yang kuahnya dibuat berasingan dan berasaskan keledek dan ditambah kacang tumbok sebagai pemekat. Dicampur kepada mee tetapi mesti ada kentang rebus. mirip mee jawa di kedai walaupun ada yang panggil benda tu mee rebus.

No comments: